Bunuh budak yang selamatkan ibu dirogol, suspek ditemui mati dalam tahanan


Beberapa hari lalu, tular diperkatakan mengenai satu kes jenayah rogol dan bunuh yang terjadi di Indonesia mengisahkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun maut selepas cuba menyelamatkan ibunya daripada dinoda.

Dalam kejadian yang berlaku di Kota Langsa, Aceh Timur, kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Rangga itu telah ditetak ketika dia cuba melawan suspek yang mahu memperkosa ibunya yang berusia 28 tahun.

Suspek bunuh dan rogol meninggal dunia

Bagaimanapun menerusi laporan terbaru, difahamkan suspek yang telah memperkosa wanita terbabit dilaporkan telah meninggal dunia ketika dalam tahanan pada 18 Oktober 2020.

Tak mahu makan & minum

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah, Arife S Sukmo memaklumkan suspek yang dikenali sebagai Samsul sempat dibawa ke hospital selepas mengalami dehidrasi kerana tidak mahu makan dan minum.

Setakat ini, pihak polis tempatan masih belum memberi keterangan punca kematian suspek berusia 36 tahun itu.

Terdahulu, suspek enggan mendedahkan lokasi mayat mangsa apabila ditahan dan disoal siasat polis. Namun, dua hari kemudian mayat Rangga ditemui nelayan yang sedang mencari ikan di sebatang sungai sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Mayat Rangga dibawa ke hospital dan pemeriksaan awal mendapati ada kesan tetakan di bahagian leher, dagu dan jari kelingking tangan kiri juga tiada dipercayai dipotong oleh suspek.

Sumber: KoolFM & WartaKota