Ibu tunggal terpaksa berhutang mi segera, buat alas perut anak2


Kehilangan suami sejak April lalu, membuatkan seorang ibu tunggal bernama Rini Mohd Yusup, 41, terpaksa memikul tanggungjawab membesarkan tiga anaknya, Mohamad Safuan, 8, Mohamad Alsam, 6, dan Nor Saimah, 4.

Selepas suaminya, seorang warga Bangladesh, Saiful, 50, meninggal dunia, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini terpaksa menggantikan kerja suaminya iaitu menoreh getah.

Ambil tugas suami toreh getah

Sebelum ini hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, Rini meskipun mengakui tidak mahir menoreh getah namun dia perlu juga melakukan demi sesuap nasi buat anak-anaknya.

Tetapi, pendapatan mula terjejas memandangkan keadaan cuaca yang kerap hujan menyukarkan dia untuk mendapatkan hasil getah.

Mengharapkan ihsan orang

Kini, Rini yang merupakan warga Acheh menetap di Kuala Krai, hanya mengharapkan sumbangan ihsan daripada mana-mana pihak yang telah sudi membantu.

Rini berkata, dia memasang hasrat untuk pulang ke kampung halaman di Acheh selepas sempadan dibuka, memandangkan dia sudah tiada lagi keluarga terdekat di negara ini.

“Keluarga saya di Acheh sana pun susah dan hanya bekerja di kebun sayur tapi sekurang-kurangnya saya dapat berada di samping keluarga kerana di sini langsung sudah tiada sesiapa lagi…”

Tambah ibu tunggal ini lagi, mengenang nasib anak-anak dia sehingga tebalkan muka dengan berhutang dua bungkus mi segera di kedai runcit untuk makan malam mereka empat beranak.

“Hutang di kedai runcit sentiasa ada sehinggakan saya sudah berasa malu untuk terus berhutang makanan tapi demi anak saya tebalkan muka kerana jika tidak, kami akan berlapar…”

Semoga urusan ibu ini dimurahkan rezeki, dan dipermudahkan urusannya untuk pulang ke tanah air.

Sumber : Harian Metro (Siti Rohana Idris)