Jari tangan dan kaki terpaksa dipotong akibat gangren


“Hanya Allah saja mengetahui perasaan saya apabila enam jari tangan dan kedua kaki anak kecil terpaksa dipotong.

“Dunia seolah gelap apabila doktor menyatakan ia terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa Muhamad Ziyad Amzar Muhamad Razif,” kata Kaasnida Mohamed Nazar, 32.

Dia berkata, anak ketiganya yang berusia tiga tahun itu mengalami gejala kehitaman pada jari dan kaki seolah-olah mereput atau gangren pada Ogos tahun lalu.

Kaasnida yang menetap bersama keluarga mentuanya di Felda Mempaga Tiga, di sini berkata, lebih menyedihkan selepas sebulan diserang penyakit itu kedua belah kaki anaknya terpaksa dipotong paras bawah lutut.

“Saya hampir pengsan apabila doktor pakar Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh menyatakan kaki Muhamad Ziyad Amzar terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya bagi menghalang kuman penyakit berkenaan merebak ke bahagian badan lain.

“Saya merayu pada doktor supaya kedua kaki Muhamad Ziyad Amzar dipotong di bawah lutut bagi memberi peluang kepadanya memakai kaki palsu dengan selesa walaupun mengalami kecacatan kekal.

“Air mata saya dan suami Muhamad Razif Razali, 38, setiap hari keluar mencurah-curah mengenakan penderitaan anak tersayang. Muhamad Ziyad Amzar menanggung derita mengidap penyakit gangren yang tidak diketahui daripada mana puncanya,” katanya ditemui, di sini semalam.

Kaasnida berkata, anaknya mula deman pada 2 Ogos tahun lalu dan tanda serangan kuman dikesan apabila terdapat bintik-bintik merah di kedua belah kaki dan dia terlalu lemah.

“Selepas itu jari tangan mula bertukar hitam dan tidak boleh digerakkan hingga memaksa doktor membuat keputusan memotongnya,” katanya.

Menurutnya, usaha menyelamatkan kaki Muhamad Ziyad Amzar tidak berjaya apabila kakinya menjadi hitam dan tidak boleh digerakan.

“Selama sebulan dia dirawat di unit ICU HoSHAS dalam keadaan lemah, setiap hari dia menangis menahan kesakitan.

“Dalam tempuh 14 bulan, anak saya menjalani empat kali pembedahan dan terbaru bulan lalu iaitu pembedahan memotong tulang bahagian tangannya yang memanjang dan selepas ini mungkin ada lagi pembedahan akan dilakukan.

“Muhamad Ziyad Amzar perlu menjalani latihan fisioterapi di Hospital Rehabilitasi Cheras, Selangor dari semasa ke semasa bagi membiasakan dia berjalan menggunakan kaki palsu selain menggunakan jarinya yang tidak sempurna.

“Sebagai ibu saya reda dengan apa yang berlaku hari ini, pasti ada hikmah kecacatan dialami Muhamad Ziyad Amzar yang masih tidak faham dengan erti kesusahan dan kekurangan.

“Saya, suami dan neneknya begitu terharu apabila Muhamad Ziyad Amzar sering menyatakan jari tangan dan kakinya kini berada di syurga,” katanya yang turut mempunyai dua cahayamata perempuan berusia lapan dan lima tahun.