Qari tersohor dunia, Misyari Al Afasy doakan kesembuhan Dr Zulkifli


Qari tersohor dunia, Syeikh Misyari Rasyid Al Afasy mendoakan kesihatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dr Zulkifli yang sedang menjalani rawatan disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 5 Oktober lalu.

Menerusi laman Twitter rasmi, imam kelahiran Kuwait itu memuat naik ciapan dengan berkongsi gambar bersama bekas mufti Wilayah Persekutuan itu dalam satu pertemuan sebelum ini.

“Saya memohon doa kepada Allah Maha Berkuasa dan Maha Agung agar menyembuhkan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli,” tulisnya.

Posting berkenaan dikongsi semula oleh Dr Zulkifli dengan mengaminkan doa tersebut selain menghargai keprihatinan imam yang popular dalam kalangan umat Islam serata dunia itu.

Semoga Allah beri ganjaran

Terdahulu, beliau menyeru orang ramai yang menghadiri majlis membabitkan kehadirannya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani ujian saringan Covid-19 dengan segera.

Sumber: Alafasy , Dr Zulkifli