Suami isteri maut kereta bertembung treler


Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Felcra Sungai Ara di sini petang tadi.

Kejadian pada pukul 5.45 petang itu menyebabkan mangsa dikenali sebagai Suhairi Katwali, 30, dan isterinya, Norfatihah Mod Nasir, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan itu.




“Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Viva dinaiki sepasang suami isteri dengan sebuah lori treler jenis Scania. Pemandu lori yang cedera keluar sendiri daripada kenderaannya.

“Pemandu dan penumpang kereta tersepit. Pihak bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

“Kedua-dua mangsa dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu lori yang cedera dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk mendapatkan rawatan. – K! ONLINE