Tak Hirau Bunyi Bising, Budak Buat Kerja Sekolah Atas Jejantas Sambil Jual Bunga Demi Memenuhi Cita-Citanya


Tak Hirau Bunyi Bising, Budak Buat Kerja Sekolah Atas Jejantas Sambil Jual Bunga Demi Memenuhi Cita-Citanya

Kesusahan hidup mengajar seseorang individu menjadi lebih berdikari. Walaupun kadang kala cemburu dengan kemampuan rakan sebaya, tetapi mereka sedar dengan realiti yang perlu dihadapi sebelum menemui kejayaan sebenar.

Mungkin itu boleh digambarkan dengan situasi seorang budak lelaki ini yang gigih menyiapkan kerja sekolah di atas sebuah jejantas walaupun dalam keadaan tidak selesa. Gambar budak sekitar usia 10 tahun itu tular dalam kalangan pengguna Facebook di Filipina yang kelihatan lengkap berpakaian sekolah dan tekun menulis sesuatu.

Budak tersebut juga menjual beberapa tangkai sampaguita, bunga kebangsaan negara Filipina yang tersusun elok di hadapannya sambil menunggu pelanggan untuk menampung kehidupan. Bunyi bising kenderaan sekeliling mungkin boleh mengganggu fokus pembelajaran tetapi tidak dihiraukan olehnya demi memenuhi cita-cita yang diimpikan.

Rata-rata netizen kagum dengan tindakan tersebut dan mendoakan supaya budak itu akan menjadi individu yang hebat serta meraih kejayaan pada satu hari nanti.

Sumber : Facebook