Ustaz Ebit Lew ziarah M Daud Kilau


Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew meluangkan masa melawat penyanyi veteran Datuk M Daud Kilau di rumahnya di Bagan Datuk, Perak hari ini.

Dalam perkongsian di Facebook, Ustaz Ebit memberitahu penyanyi yang terkenal dengan gelaran Raja Gelek Malaysia itu kelihatan ceria dan bersemangat melayan tetamu yang hadir.

“Sebak sayu hati rasa baru ziarah Dato M Daud Kilau dan datin di Bagan Dato. Walau uzur beliau masih senyum ceria semangat melayan tetamu. Sedap laksa. Beliau berdoa bersama-sama tadi. Lemah lembut orangnya. Tak bagi kami balik kalau tak makan. Semua kru kena makan..saya suap beliau. Katanya kali pertama ni kena suap dengan ustaz,” tulisnya.

Sebelum pulang Ustaz Ebit sempat menghulurkan sedikit hadiah buat penyanyi itu selain mendoakan kesejahteraan buatnya.

“Alhamdulillah saya berkongsi sedikit hadiah dengannya. Ulang-ulang cakap terima kaseh. Dan banyak sangat ni. Tak nak ustaz susahkan ustaz. Apalah sangat dengan hadiah berbanding doa dari yang baik dan mulia. Doakan saya yer. Doakan supaya Dato M Daud Kilau sihat dan diberi kekuatan umur panjang memberi manfaat untuk ummah dan ibadah,” ujarnya.





Berita mengenai keuzuran M Daud Kilau, 82, yang menderita beberapa penyakit kronik tular di media sosial sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Sirih Pinang itu mempunyai kencing manis, jantung dan kini, kurang pendengaran. Beliau juga sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta sakit pinggang.