Warga emas meninggal dunia ketika wirid

Seorang warga emas meninggal dunia ketika sedang berwirid sebaik selesai menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Al-Amin, Kampung Sungai Lerek, Chalok, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, Khalid Ahmad, 83, disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung.

Katanya, warga emas itu bersama menantunya Mohamad Firdaus Ibrahim, 29, ke masjid berkenaan pada 7.15 malam.

"Menantu mangsa memaklumkan bapa mentuanya tiba-tiba jatuh dan tidak sedarkan diri ketika imam mahu membaca doa selepas selesai solat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Afandi berkata, Mohamad Firdaus menghubungi petugas kesihatan dan pemeriksaan lanjut mengesahkan warga emas itu meninggal dunia.

"Berdasarkan pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa tiada kesan luka atau cedera. Arwah juga sering menjalani rawatan sakit asma di Hospital Setiu dan kali terakhir mendapatkan rawatan pada 16 Jun 2020," katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah arwah dituntut keluarga untuk pengebumian di Kampung Banggol.

Dalam pada itu, seorang ahli keluarga Khalid, Raihan Husin, 31, berkata, arwah singgah di masjid itu untuk solat Maghrib berjemaah dan sepatutnya ke rumah menantunya di Chalok Barat untuk menghadiri majlis tahlil arwah isterinya, Meriam Latif.

"Arwah keluar dari rumahnya di Kampung Banggol selepas Asar dan sempat singgah di rumah menantu seorang lagi sebelum ke masjid bersama. Sudah menjadi rutin arwah untuk solat di mana-mana masjid yang sempat dia singgah," katanya.

Dia juga memberitahu sempat bertemu arwah beberapa hari lalu kerana rumah mereka berdekatan dan arwah seorang pemurah dan kerap berkongsi makanan, hasil tanaman dengan keluarga dan penduduk kampung.

"Pada Sabtu lalu isteri arwah meninggal dunia. Semalam arwah pula dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol kira-kira 11 pagi tadi," katanya.