Kematian Surya bakal terbela, kertas siasatan hampir siap


Kejadian pembunuhan kejam Siti Nur Surya Ismail, 19, hampir menemui jawapan setelah kertas siasatan berhubung kes tersebut akan dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya (TPR), hari ini.

Menurut laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kertas siasatan tersebut sudah siap lebih 90 peratus.

Kertas siasatan hampir siap

Selain itu beliau berkata, unit selam pasukan polis turut cuba mengesan barangan kes dipercayai dibuang suspek di Sungai Telemong dekat Kampung Bukit Tadok.

“Kertas siasatan sudah hampir siap dan setakat ini, kira-kira 20 saksi dipanggil untuk membantu siasatan. Senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu juga telah ditemui di tepi lebuh raya di Telemong pada 4 November lalu…”

“Ahad lalu, kita menggunakan khidmat sembilan pegawai dan anggota Unit Selam Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga untuk mengesan barangan kes yang dipercayai dibuang ke dalam sungai oleh suspek…”

Terdahulu, suspek utama kes pembunuhan yang juga berusia 19 tahun telah mengaku membuang barang diambil dari rumah mangsa di lokasi tersebut.

Tempoh reman juga dilanjutkan hingga Isnin depan oleh Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: BH Online (Zatul Iffah Zolkiply)