Kes bunuh: Rakan baik sempat ambil duit & alat solek lepas gaduh dengan arwah


Pihak polis menahan rakan sekolah kepada Allahyarham Siti Nur Surya Ismail yang ditemui meninggal dunia dengan kesan kecederaan parah di bahagian anggota badan semalam.

Menerusi laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, tangkapan wanita yang juga kenalan di sekolah mangsa dilakukan selepas dia hadir bersama ibunya ke balai polis.

Dipanggil beri keterangan

Pada awalnya suspek yang berusia 19 tahun hadir bagi memberikan keterangan berhubung video kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa memperlihatkan suspek datang ke rumah mangsa dengan menaiki motosikal.

“Pagi tadi, jam 7.30 suspek datang ke Balai Telemong ditemani ibunya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, keterangan wanita terbabit mencurigakan selain terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk gigitan pada lengan dan badan mangsa sebelum menahannya untuk siasatan lanjut jam 8.15 pagi,” katanya.

Berikutan penahanan itu, polis menjalankan siasatan di rumah suspek di Kampung Kubang Labu sebelum menemui beberapa barangan yang diambil daripada rumah mangsa termasuk wang tunai dan peralatan solek.

Mungkin salah faham jadi dendam

Menurut Mohd Adli lagi, menerusi keterangan yang diambil, berkemungkinan berlaku salah faham antara suspek dan mangsa sehingga berlaku pergaduhan.

“Ketika bergelut, suspek dikatakan mengambil pisau dapur yang ada di ruang tamu sebelum mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh dan bukan samun dan bunuh selain disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Kesiksaan kerana membunuh.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang esok untuk permohonan reman.

Dalam pada itu, tular sebuah posting di Facebook mengenai perbualan didakwa kenalan Allahyarham yang memaklumkan berkenaan kronologi kejadian.

Walaupun belum ada sebarang kenyataan sahih mengenai identiti suspek, namun dapat diandaikan bahawa kejadian tersebut sangat kejam dan menyayat hati.

Sumber: Berita Harian (Zaid Salim) , Facebook