Suhaimi Saad hidap sakit mata kronik, kini berjalan guna tongkat


Lama tidak mendengar kisah penyanyi nasyid Suhaimi Saad yang dahulunya memberi pendapat mengenai anti vaksin dan dakwaan bumi berbentuk rata sehingga meraih kecaman ramai.

Namun, menerusi laporan Kosmo! melaporkan bekas kumpulan InTeam itu dikhabarkan kurang sihat kerana menghidap sakit mata yang kronik sejak setahun lalu.

Bergantung bantuan isteri

Penyanyi berusia 40 tahun itu banyak bergantung dengan isterinya, Ina Naim bagi membantu dalam menguruskan urusan harian kerana matanya mengalami rabun dan masih dalam rawatan.

“Saya mengalami masalah mata ini sejak tinggal di ibu negara lagi. Selain isteri, saya juga menggunakan tongkat untuk berjalan…”

“Saya masih mendapatkan rawatan susulan di hospital selain meneruskan rawatan secara tradisional untuk mengubati mata ini…”

Masih aktif dalam bidang nyanyian

Meskipun keadaan kesihatan terjejas, namun Suhaimi berkata dia masih aktif dalam bidang seni dan sedia membuat persembahan jika mendapat jemputan.

Malah, penyanyi itu bakal tampil dengan single terbaharu ciptaannya sendiri yang berunsurkan ketuhanan berjudul Zapin Selawat penghujung tahun ini.

Ina Naim bantu pendapatan keluarga

Sementara itu, bagi menambah pendapatan keluarga, isterinya menjalankan perniagaan barangan kosmetik dan pakaian secara dalam talian serta mengambil tempahan makanan.

Pasangan itu memiliki empat anak iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 12, Sallman El-Khoyri, 10, Phyrosh Elfadwah, 8, dan Nurlayla Elghufrony,6, yang bersekolah di rumah (home schooling) dengan ibu mereka sebagai guru.

Difahamkan, Pengerusi Persatuan Kebajikan Penggiat Seni Kelantan, Mohamad Afandi Mohamad akan membantu penyanyi itu untuk kembali aktif dalam bidang seni.

Sumber: Kosmo Online (Rohana Mohd. Nawi)